KHAZANAH ALAM

BERSAMA KITA MENGHARGAI KEINDAHAN ALAM YANG TERCINTA INI

Taman Negara Lambir

Published by RSJ under on 10:22 AM

Bukit Lambir sangat popular di kalangan ahli ekologi dan para penyelidik. Taman negara ini mempunyai keluasan 7,000 hektar dan kawsan seluas 52 hektar mengandungi 1,050 spesis pokok dan setiap pokok menampung 1,000 spesis serangga!

Ahli ekologi berpendapat bahawa terdapat banyak lagi spesis tumbuhan dan serangga di taman negara ini yang masih belum dikenalpasti. Taman negara yang menakjubkan ini adalah taman yang paling senang di kunjungi di Sarawak di mana ianya hanya 30 minit perjalanan dari Miri.

Dalam keghairahan anda untuk melawat Mulu atau Niah anda tidak harus melepaskan peluang melawat Lambir. Hutan Lambir menjadi tempat tinggal pelbagai jenis haiwan termasuk ungka, kera hantu, babi hutan, tupai terbang, rusa, 157 jenis burung dan harimau dahan yang cantik.

Anda akan melihat hidupan liar sambil anda meneroka laluan-laluan trek hutan di taman negara ini. Laluan trek hutan ini merupakan yang terpanjang dan paling lasak menuju ke puncak Bukit Lambir (465 meter), namun pemandangan hebat hutan hujan di bawahnya membuatkan pendakian ini sangat berbaloi.

Di sini terdapat sebuah menara pokok setinggi 40m di mana anda boleh melihat nadi kehidupan di dalam hutan secara dekat. Taman ini juga adalah sesuai untuk aktiviti memerhati burung.

Kedudukannya yang berhampiran dengan bandar Miri membuatkan taman negara ini destinasi yang sesuai untuk lawatan sehari tetapi jika anda ingin memerhati hidupan liar mengikut kesenangan anda, tempat penginapan boleh ditempah di ibu pejabat taman.

Taman Negara Gunung Gading

Published by RSJ under on 12:49 AM



Gunung Gading adalah tempat di mana terdapatnya 'bunga terbesar di dunia', bunga Rafflesia. Apabila bunga ini kembang, ianya berukuran 1 meter garis pusat dan mengeluarkan bau yang sangat busuk yang menjadi tarikan kepada lalat dan serangga-serangga. Tidak ada musim tertentu untuk bunga ini dan ia mengambil masa 9 bulan untuk matang dan berbunga hanya selama 4-5 hari sebelum ia mati.

Gunung Gading dibuka pada umum di pertengahan tahun 1994 setelah kajian kesan persekitaran dibuat. Dahulunya tempat ini digunakan hanya sebagai kawasan pemeliharaan Rafflesia. Keutamaan masih lagi untuk usaha pemeliharaan bunga ini, namun Jabatan Taman Negara telah membuat persediaan yang sewajarnya supaya pelawat dapat melihat Rafflesia tanpa merosakkan tunas-tunas bunga ini ataupun tumbuh-tumbuhan lain.

Terdapat laluan pejalan kaki yang berdekatan dengan tempat-tempat di mana selalunya terdapat bunga ini. Jika bunga ini berkembang di kawasan yang jauh dari laluan ini, renjer taman boleh membawa anda ke situ. Sila waspada kerana tunas-tunas kecil berwarna coklat di dasar hutan mungkin adalah tunas Rafflesia, olehitu langkahlah dengan berhati-hati dan ikutilah panduan renjer taman.

Olehkerana kejarangan Rafflesia dan masa berbunga yang singkat, pengaturan masa (dan nasib) untuk melihat bunga ini adalah sangat penting. Pekerja-pekerja taman ini selalunya mengetahui bila masanya bunga ini akan berkembang dan pelawat-pelawat boleh menyemak dengan Ibu Pejabat Taman Negara ini (082-735714) ataupun Pejabat Tempahan Taman Negara Dan Kehidupan Liar (082-248088) di Kuching untuk mengetahui masa-masa berbunga ataupun masa ia akan berbunga.

Walaupun bunga-bunga ini berkembang sepanjang tahun, bulan-bulan November, Disember dan Januari boleh dianggap kemuncak musim berbunga kerana kekerapan bunga ini berkembang pada masa-masa ini. Melihat bunga ini berkembang merupakan kemuncak lawatan anda ke Gunung Gading tetapi anda juga dinasihati untuk menjelajah tempat-tempat lain di taman ini serta di seluruh kawasan Lundu. Puncak gunung merupakan pemandangan yang menarik dari bandar berdekatan iaitu bandar Lundu. Juga terdapat pantai-pantai yang berhampiran di Pandan dan di Siar. Di Gunung Gading juga terdapat persiaran pejalan kaki dan trek-trek yang mencabar.

Taman Negara Bako

Published by RSJ under on 12:41 AM

Taman negara yang tertua di Sarawak ini diasaskan pada tahun 1957 merangkumi kawasan seluas 27 km persegi terletak kira-kira 37 km dari bandaraya Kuching.

Taman negara ini terkenal dengan persekitaran semulajadi yang mempesona, habitat, tumbuh-tumbuhan dan hidupan liar.

Tarikan utama di sini ialah teluknya yang terlindung serta tanjung berbatu dengan tebing curam yang mengagumkan berhadapan dengan Laut China Selatan.

Ombak laut, air masin dan angin kuat telah mengukir gerbang dan tiang batu semulajadi di kaki tebing sehingga ada yang menerjah permukaan laut bagaikan kepala naga. Pembentukan batu pasir di tebing tampak kemerahan disebabkan kandungan besi yang ada.

Di pedalaman pula, air terjun mengalir ke dalam takungan kolam air tawar diiringi ketenteraman persekitaran hutan yang hijau segar.

Bako terkenal sebagai taman negara yang paling mudah dikunjungi di Sarawak bagi memerhati Monyet Belanda atau 'Proboscis Monkey'.